I just feel like sharing this with someone.*smile*.Tender memories that I cherish.Till this very moment.But you don’t have to read it if you don’t want to,of course.
*****Al-Fatihah for my late grandfather.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Ya Allah,
Hidupkanlah kami dengan imaan
Dan matikanlah kami dengan imaan
Gerakkanlah kami di padang mahsyar dengan imaan
Masukkanlah kami ke syurga-Mu dengan imaan
Ya Allah,
Tetapkanlah kami beserta imaan
Dan keluarkanlah kami dari dunia bersama imaan
Tundukkan penggoda kepada kami[dari golongan jin] kepada imaan
Ya Allah,
Hindarkan kami dari bala dunia dan azab akhirat
Semoga Kau mengampuni dosa kami dan dosa mereka
Dengan rahmatMu ya Allah Tuhan kami yang Maha Pengasih.
Ameen.
PROLOG
Sudah hampir sejam dia di situ.Dari mulanya condong matahari hingga kini bola api gergasi itu sayup di balik pokok-pokok getah tua di tepi bekas bendang.Matanya masih merenung kosong aliran air jernih alur di bawah titi.Anak-anak ikan tebal sisik masih bermain aci kejar.Siput-siput gondang masih mengesot lambat di celah kelodak karat.
Masih.
Seperti dulu.
I
“Emin!!!"
Emin tercangak-cangak seketika di atas titi batang pinang dan tempinis yang merentas alur kecil itu.Suara Opah.Cepat-cepat dia bangun membuka sila.Botol plastik berisi air alur berkelodak kuning dicapainya.Gocoh-gocoh dia menyusup di celah pokok pisang dan ulam gila yang menjalar melata di tanah.Seluar sukan yang dilipat kakinya hingga ke tengah keting ramah disapa selut tebing alur.
“Emin!!”Suara Mak.
Hampir tersungkur bila selipar Jepun di kaki memijak lecak basah.Hayunan langkahnya makin laju menuju ke belakang rumah.
“Emin!!"
Suara Tok pula.Paip air di belakang rumah di tepi tangga batu segera dihampiri.Botol plastik di tangan diletak ke tanah.Tangan kecilnya cepat-cepat membuka pili.Berkejar-kejar air turun.Kaki berselut disua terus.Nyamuk-nyamuk ramah menyapa memberi salam sambil dia membasuh kaki.Dah nak senja.Lotong dah mula menjerit dari atas bukit di baruh.
“Emin!!"
Suara Tok.Dari arah reban tepi telaga.Seluar sukan kini sudah basah sampai ke lutut.Dia tak peduli.
“Emin!!"
Pili ditutup.Botol plastik minuman ringan 1.5 liter yang dah bolen tanpa plastik pembalut itu dicapai dari tanah. “Ya!!"Emin berlari anak ke arah dapur. “Tok!Tok dekat mana?"
“Reban!"
Emin lari pusing rumah ke arah reban tepi telaga. “Tok!Emin dapat tangkap sepat!"Dari jauh gadis kecil itu mengangkat botol plastik di tangan.
Tok terkakap-kakap keluar dari reban.Tok dah bongkok tiga.Mak kata Tok bongkok tiga sebab masa muda-muda dulu kerja berat.Tok orang susah.Tok kena kerja kuat.Tiap-tiap hari kandar tong susu getah dengan basikal tua.Sejak dari zaman muda.Hatta sampai sekarang pun.Hanya beza sekarang Tok pakai Honda Cub buruk.Tapi Tok masih kandar tong susu getah walau dah bongkok tiga.
“Tok!Emin dapat sepat!"Anak gadis dua belas tahun itu sengih bangga menayang tangkapannya.
Tok turut tersengih.Nampak barisan gigi palsunya beratur kemas.Tin susu berisi gandum makanan ayam dikeleknya di bawah ketiak.
“Bagi sini Tok tengok."
Mereka sama-sama mencangkung di tanah.
“Emin tangkap pakai apa?"
“Emin pakai tapis santan Opah."Emin sengih lagi.
Mata Tok hampir terbelalak.Tapi Tok tak pernah marah.Tok tak pernah piat.
“Tapis santan buruk bawah rumah tu....”Emin sengih lagi sambil menggaru belakang leher yang digigit nyamuk. “Tok,nanti Emin tangkap ikan ‘ruan pulak,Tok."Ujarnya bersungguh-sungguh. “Tok kata Tok nak bagi bubu kat Emin."
Tok sengih. “Kita doa malam nie hujan."Tok bangun mengibas seluar kerja kumal dengan sebelah tangan. “Pergi masuk sepat tu dalam tempayan kat telaga tu.Nanti balik suruh Abah letak dalam akuarium."
Emin angguk.Gegas dia lari masuk petak zink berdinding empat tanpa atap yang memagar telaga simen dua depa dari reban.Telaga itulah bilik air lama sebelum Tok buat rumah bawah.Tok buat rumah bawah sebab Opah dah tak larat nak naik tangga yang macam tebing Sungai Temong tu.Curam.
Tok kembali menabur gandum ke tanah.Dari luar dengar bercebur air dituang ke dalam tempayan.
“Tok!"
Tok paling.
“Bila nak bagi makan kat arnab,Tok?"Emin tanya sambil menggaru siku kanan.Nyamuk makin menggila.Tapi dia tak peduli.Mengelusai pun tak apa.
“Nanti lepas bagi ayam makan Tok bagi."
“Emin buat?"Pintanya dalam sengih.
“Pergi la."Tok bagi izin. “Tapi jangan bagi ulam gila banyak sangat,nanti arnab tu mabuk!Kangkung tak apa!"Suara Tok naik sebab Emin dah lebih dulu lari ke alur belakang rumah ‘bekas rumah'sepatnya.Tok geleng kepala.Emin...Tak berubah dari kecil.
Kedua belah tangan dah penuh dengan kangkung paya dan ulam gila.Badan dah miang.Emin bawa jebun kangkung dan ulam gila ke reban arnab bawah bangsal tepi alur belakang rumah.
“Makan..makan...Emin nak bagi makan nie..."
***
Hujan lebat.Tok di surau.Tadi Tok azan.Tapi kalau bukan malam ni,tiap-tiap hari pun memang Tok yang azan.Dulu Opah kata kalau Tok azan mesti boleh tarik nafas panjang.Sekarang Tok dah tua dah tak larat.Tok azan nafas pendek-pendek aja.Kalau marhaban pun Tok tarik nafas pendek aja.Kalau Emin telefon dari pekan, dan Tok tak ada di rumah sebab pergi marhaban,mesti Opah kata Tok pergi karaoke.Emin akan kekeh-kekeh ketawa bila Opah cakap macam tu.
Emin tengok jam.Tak sabar nak tunggu Tok balik.Tok,doa kita makbul!Malam ni hujan.Malam ni mesti alur belakang rumah tu air naik.Malam ni mesti boleh tahan bubu.Emin sengih.Emin tau mesti nanti dapat ikan sebab...sebab...Ala..Emin tau mesti nanti akan dapat ikan.
Tapi Abah kata nak balik malam ini juga ke pekan besar.Sebab esok Abah kata dia kena ke kebun nak menebas.Sementara cuti sekolah ni aja yang ada masa.Emin cebik dalam hati.Jangan menjawab Mak Abah,Tok dengan Opah selalu pesan.Jangan jadi anak derhaka.Tak baik.
Mana Tok ni?Nasi nak makan malam dah siap hidang.Air liur dah kecur.Gulai tempoyak lambuk ikan temenung,sambal belacan,ikan masin,pucuk paku masak lemak,dan keli bakar dah siap bawah tudung saji.Tok beli ikan keli sebab Tok tau Emin suka.Tok sanggup bawa motor ke pekan kecil sebab Tok tau Emin nak balik kampung.Tok tak kisah penat-penat bakar ikan keli atas dapur kayu walau pun Tok tak makan ikan keli.Emin tau Tok,Opah sayang Emin.Cucu sulung.Tunggal sebelas tahun sebelum Pak Chu dapat anak.
Dari bawah rumah terdengar kesut-kesut bunyi orang berjalan.Dari dalam rumah nampak cahaya lampu suluh celah tingkap.Tok dah balik!Emin cepat-cepat terkam pintu.
“Assalamualaikum."
“Waalaikumsalam.”Emin jawab di muka pintu sambil sengih. “Tok!Hujan!Boleh tahan bubu malam ni!"Kemudian air mukanya sedikit berubah. “Tapi Abah kata balik malam ni."
“Nanti Tok tahankan untuk Emin."Tok mengibas turun kopiah basah dari kepala.
“”Tok,Emin nak pakai umpan biji getah tau Tok.Tak nak pakai pisang macam Tok selalu buat tu."Emin ambil lampu suluh dari tangan Tok. “Tak nak jugak buat macam Abah.Ada pakai umpan roti Gardenia."
“Abah dengar!"Suara Abah menyahut dari tingkat atas rumah lama.
Tok,Mak,Opah,Tok dengan Emin ketawa sama-sama.
“Dah dah.Mari makan.Nanti nak balik."Opah dah panggil dari dapur.
“Tok,Tok janji telefon Emin kalau dapat ikan ‘ruan tau Tok."
***
“Bubu Emin dapat ikan ‘ruan terbang'."
Emin dah ketawa suka hati dapat panggilan dari Tok pagi tadi.Pukul tujuh setengah pagi Tok dah pergi tengok bubu.Pukul tujuh empat puluh Tok telefon Emin.Tok kata Tok dah letak dalah tempayan di telaga.Tok kata nanti kalau Emin balik lagi boleh buat ‘ruan bakar.
Cepatlah abah balik dari kebun!
II
Syiling sepuluh sen dimasukkan ke dalam slot syiling telefon awam asrama puteri.
“Assalamualaikum."
“Waalaikumsalam.Opah!"
“Emin!"
“Opah sihat?Opah tengah buat apa tu."
“Biasa la sakit urat,pening-pening.Opah baru lepas Asar ni.Emin sihat?"
“Alhamdulillah.Opah,Tok mana?"
“Tok angkat asam gelugur yang jemur pagi tadi.Emin bila balik?Rambutan tengah musim.Maggis ada juga.Durian tengah gegak.Opah banyak buat tempoyak.Emin cuti bila?"
“Emin cuti lagi dua minggu."Emin mengeluh perlahan. “Opah,musim lama tak?Emin teringin nak makan rambutan."
“Insya Allah,kita doa.Nanti Opah dengan Tok taruh untuk Emin.Belajar rajin-rajin kat sana.Jangan lupa sembahyang."Pesan Opah yang tak pernah lekang setiap minggu.
***
Emin memintal hujung rambut sambil bersila atas katil asrama.Musim buah, tapi bukan waktu cuti sekolah.Kasihan Tok.Mesti Tok bising sebab dia tak balik.Mesti Tok bising sebab Tok penat-penat suluh durian,kait segala rambutan maggis langsat,tapi cucu sendiri tak ada.
Dia ingat.Dulu masa sebelum masuk asrama,kalau Tok kutip durian banyak dan dapat buah elok-elok,mesti Tok terus telefon.Tambah-tambah kalau awal musim.Buah sulung.Tok mesti suruh balik.Mujurlah rumah dengan kampung tak jauh.Setengah jam naik kereta Abah dah sampai.Abah pun tak banyak kerenah.Kalau lepas Isya' Tok telefon sekalipun Abah tak kisah nak bawa dia dan Mak balik kampung malam itu juga,walau pun esok Abah kerja.Balik kampung makan durian,tengah malam balik semula ke rumah.Abah tak kisah walaupun Tok ayah Mak.Sebab Abah tak nak Tok kecil hati.Abah tau Tok sayang Emin.Emin cucu sulung Tok.Cucu tunggal sebelas tahun.Tok sanggup buat apa saja untuk Emin walaupun Tok tak banyak cakap,tak banyak tunjuk.
Dia ingat dulu pernah balik kampung masa musim buah berlarut dengan musim hujan.Jelas di layar ingatannya ketika itu rembang tengah hari.Namun matahari hilang ditelan awan sarat.Hujan lebat mencurah-curah macam tak mahu berhenti.Dia cakap pada Mak yang dia teringin sangat nak makan rambutan.Tak tahu Tok terdengar.Tau-tau Tok balik petang tu dengan topi apek jual sayur dengan baju hujan.Lenjun satu badan.Tok pergi cari kait rambutan dekat dusun tepi bekas bendang tengah-tengah hujan lebat.
Masa kecil dulu pun pernah dia termakan buah sulung rambutan kuning depan rumah.Ketika itu tak tau Tok kuat ikut pantang larang.Kalau ikut adat orang bertani,buah sulung orang yang menanam yang sepatutnya makan merasmi.Dia tak tau.Nampak ada buah masak tiga biji,tiga-tiga biji dia makan bawah pokok.Tak sempat bawak masuk ke rumah.Tapi bila Tok tau Tok tak kata apa.Mak kata masa Mak kecil dulu,Mak pun pernah buat macam tu juga.Tok bambu Mak dengan rotan saga.
Dulu-dulu juga kalau hujan,mesti seronok.Berkurung dalam rumah pun tak kisah.Tok tak dapat nak pergi menoreh.Dia pun tak boleh nak pergi berkubang dengan pacat lintah di alur bekas bendang belakang rumah nak mencari sepat atau ikan tebal sisik.Tapi tak kisah.Duduk dalam rumah dengan Tok dengar cerita orang zaman dulu-dulu.Cerita arnab dengan kura-kura,cerita sang kancil dengan dua bulan,cerita sang kancil dengan gajah,cerita anak tukang kayu.Kalau waktu tolong Tok potong asam gelugur nak buat jemur jadi asam keping pun Tok selalu bercerita.Kalau waktu tolong Tok pisahkan biji koko nak dibuat jemur pun Tok akan bercerita.Kalau masa tolong Tok bagi ayam atau arnab makan pun Tok bercerita juga.Tapi bila makin besar terasa makin jauh dari Tok.Dah jarang dengar cerita.Sejak masuk asrama.Sibuk selalu.Balik kampung pun kalau tak ke alur belakang rumah,Emin buat kerja sekolah.Sekarang Tingkatan Tiga.PMR terasa seolah raksasa yang maha ngeri untuk dihadapi.Perlu tekun belajar untuk bersedia,dan seolah tiada perkara lain yang mampu mencuri masanya!
III
Nurul Azamin melontar pandangan keluar tingkap yang terbuka luas. Damai.Angin petang bertiup halus mengusik daun kelapa di tepi bangsal belakang rumah Tok.Dia cukup suka kalau balik kampung dan guna bilik Pak Chu.Bilik Pak Chu di rumah atas.Tingkap jenis tingkap lama yang boleh dibuka sebesar alam.Baginya duduk di atas lebih memberi kebebasan.Sejak menjadi anak gadis remaja dia mula mahu mempunyai ruang untuk diri sendiri.Hidupnya kini perlu radio yang berbunyi tanpa henti.Buku-buku John Grisham,George Orwell dan Harun Yahya perlu diberi ruang bernafas.Tulisan-tulisan Azizi Hj. Abdullah,Rahman Shaari dan Faizal Tehrani bukan sekadar hanya untuk dibeli tanpa dibaca.Namun bila malam-malam tidur di bilik bawah juga dengan Opah dan Mak di atas tilam kekabu.Hati Opah perlu dijaga.Orang tua,hati mudah tersentuh.Jangan dibuat tak endah,itu yang Mak selalu pesan.Itu yang diingat dan dijaga.Tilam kekabu bukan masalah.Dia tak kisah.
Teringat semasa di Tingkatan Empat.Tanpa sedar melukakan hati Tok.Ketika itu Tok yang mengangkat telefon.Dia sekadar berjawab salam dan bertanyakan khabar.Kemudian terus bertanyakan Opah.Tanpa sedar rupanya Tok berjauh hati.Abah yang datang melawat pada hujung minggu selepas itu yang mengkhabarkan berita.Tok terkilan Emin cakap sekejap sangat dengan dia.Dan semenjak hari tu kesilapan yang sama tidak diulangnya lagi.Dia akan bertanya apa sahaja.Seolah kembali ke masa dahulu.Bertanyakan alur bekas bendang berair atau kering,bertanyakan bubu berisi ikan atau tidak,bertanyakan durian berbunga atau belum,bertanyakan bila Tok akan ‘karaoke' lagi,bertanyakan apa sahaja hingga Tok puas bercerita.Melayan mendengar apa sahaja sepertimana Tok melayan mendengar keletahnya ketika usia masih berhingus dahulu.
Angin petang menyapa wajah,bermain dengan juntaian rambut di dahi.Pulangnya dia ke kampung sejak semalam membawa tujuan.Lusa,Kuala Lumpur menanti seorang bakal graduan lulusan luar negara yang perlu disediakan seadanya.Pulangnya dia ke kampung untuk berjumpa dengan Tok dan Opah buat kali terakhir sebelum berangkat ke kolej untuk program persediaan.
Dia sedar.Nurul Azamin dikurniakan Allah rezeki bukan kerana usahanya semata.Nurul Azamin dinaungi doa Mak,Abah,Tok dan Opah saban masa.Nurul Azamin cemerlang dalam UPSR dengan doa insan-insan itu tanpa henti.Nurul Azmin mampu tersenyum gembira dengan keputusan PMR dan SPM kerana diiringi doa insan-insan itu tanpa mereka jemu.Nurul Azamin ditawarkan peluang ke luar negara kerana insan-insan itu tidak pernah luak doa dan solat hajat untuknya saban ketika.Tidak pernah luak.Tidak pernah tidak.Tok mahu Eminnya jadi doktor.Opah mahu cucu sulungnya jadi doktor.Mak mahu puteri tunggalnya jadi doktor.Abah juga begitu.Dan dia akur.Mengapa perlu melawan takdir jika itu yang telah dijanji?
“Emin!"
“Ya,Opah."
“Turun minum.Nanti dah nak balik."
***
Ketika bersalam dengan Tok dan Opah seperti lazimnya,Tok seolah terkilan.Durian sedang musim,tetapi rambutan belum datang masak gegaknya.Opah bergenang air mata.Emin si cucu tenang memaksa senyum.
“Lain kali ada lagi.Emin balik dulu,Tok Opah.Assalamualaikum."
Dan kereta Abah meluncur keluar dari laman.